Selasa, 28 Disember 2010

PERANAN ILMU QIRAAT DALAM ILMU TAFSIR


Muqaddimah
Pada permulaan wahyu, Nabi SAW amat menitikberatkan ajaran al-Quran. Para sahabat diberi galakan oleh baginda untuk membaca dan menghafaz ayat al-Quran sehingga melahirkan sejumlah generasi intelektual dan memadamkan buta huruf setelah diselubungi kegelapan jahiliah. Masa dakwah di Makkah merupakan marhalah pembentukan aqidah, akhlak dan ruh. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah Al-I’jaz” yang melemahkan bangsa Arab daripada menolak ajaran al-Quran serta membuktikan kebenaran risalah nubuwwah.
Al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf ( الأحرف السبعة ) memberi kemudahan kepada umat Islam untuk membaca dan mengamalkan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Penurunan al-Quran dengan tujuh huruf ini bermula pada masa dakwah baginda di Madinah setelah dakwah Nabi SAW semakin meluas ke seluruh tanah Arab. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah At-Tashil” yang membantu umat Arab mengenali al-Quran dan menghayatinya mengikut lahjah kabilah masing-masing.
Hasil galakan dan panduan daripada Nabi SAW, generasi sahabat sangat tekun mendalami al-Quran dengan seluruh wajah qiraat yang diturunkan. Setelah kewafatan baginda, para sahabat telah bertebaran di seluruh Semenanjung Tanah Arab sehingga melahirkan beberapa madrasah qiraat seperti Madani, Makki, Syami, Kufi dan Basri. Kemudian datang generasi selepasnya sehingga melahirkan tokoh-tokoh yang masyhur dalam bidang ini antaranya ialah sepuluh imam qurra’.
Setelah zaman berzaman ilmu qiraat semakin berkembang dengan kelahiran tokoh-tokoh dalam bidang ini seperti Imam as-Syatibi (wafat 590H), Imam Ibnu al-Jazari (wafat 833H) dan lain-lain. Para ulama juga telah membahaskan ilmu qiraat dalam pelbagai sudut untuk menambahkan kefahaman terhadap al-Quran seperti sejarah ilmu qiraat, taujih al-Qiraat al-Mutawatirah, taujih al-Qiraat as-Syazzah.