Selasa, 28 Disember 2010

PERANAN ILMU QIRAAT DALAM ILMU TAFSIR


Muqaddimah
Pada permulaan wahyu, Nabi SAW amat menitikberatkan ajaran al-Quran. Para sahabat diberi galakan oleh baginda untuk membaca dan menghafaz ayat al-Quran sehingga melahirkan sejumlah generasi intelektual dan memadamkan buta huruf setelah diselubungi kegelapan jahiliah. Masa dakwah di Makkah merupakan marhalah pembentukan aqidah, akhlak dan ruh. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah Al-I’jaz” yang melemahkan bangsa Arab daripada menolak ajaran al-Quran serta membuktikan kebenaran risalah nubuwwah.
Al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf ( الأحرف السبعة ) memberi kemudahan kepada umat Islam untuk membaca dan mengamalkan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Penurunan al-Quran dengan tujuh huruf ini bermula pada masa dakwah baginda di Madinah setelah dakwah Nabi SAW semakin meluas ke seluruh tanah Arab. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah At-Tashil” yang membantu umat Arab mengenali al-Quran dan menghayatinya mengikut lahjah kabilah masing-masing.
Hasil galakan dan panduan daripada Nabi SAW, generasi sahabat sangat tekun mendalami al-Quran dengan seluruh wajah qiraat yang diturunkan. Setelah kewafatan baginda, para sahabat telah bertebaran di seluruh Semenanjung Tanah Arab sehingga melahirkan beberapa madrasah qiraat seperti Madani, Makki, Syami, Kufi dan Basri. Kemudian datang generasi selepasnya sehingga melahirkan tokoh-tokoh yang masyhur dalam bidang ini antaranya ialah sepuluh imam qurra’.
Setelah zaman berzaman ilmu qiraat semakin berkembang dengan kelahiran tokoh-tokoh dalam bidang ini seperti Imam as-Syatibi (wafat 590H), Imam Ibnu al-Jazari (wafat 833H) dan lain-lain. Para ulama juga telah membahaskan ilmu qiraat dalam pelbagai sudut untuk menambahkan kefahaman terhadap al-Quran seperti sejarah ilmu qiraat, taujih al-Qiraat al-Mutawatirah, taujih al-Qiraat as-Syazzah.







PENGENALAN




Para ulama berpendapat bahawa di antara semulia-mulia ilmu dan setinggi tinggi kedudukannya dalam konteks ilmu-ilmu syariah ialah ilmu tafsir. Ini kerana ilmu tafsir merupakan senjata mukmin dalam memahami dan mendalami isi kandung al-Quran di mana kitab suci ini merupakan satu-satunya kitab yang masih kekal keasliannya hingga ke hari ini. Dalam memelihara keasliannya dari sebarang penyelewengan, Ibnu `Abbas telah menggariskan empat wajah atau bentuk dalam mentafsir al-Quran iaitu tafsir yang dikenalpasti kegunaannya oleh orang Arab, tafsir yang tidak memberi kesan sekiranya tidak diketahui maknanya, tafsir yang diketahui oleh para sarjana Islam dan tafsir yang tidak diketahui hakikatnya melainkan Allah s.w.t.Dalam topik ini, perbahasan kita akan tertumpu kepada sekitar perbincangan berkenaan peranan ilmu al-Qiraat dalam ilmu tafsir al-Quran. Bermula dengan peranan Qiraat Mutawatirah dan diikuti dengan peranan Qiraat Shazzah. Beberapa contoh-contoh akan dikemukan sebagai dalil yang bukti terhadap peranan yang dimainkan dalam ilmu tafsir.




















PERANAN QIRAAT MUTAWATIRAH



Secara umum, tafsir dari sudut Bahasa Arab ialah keterangan dan kenyataan. Manakala dari sudut istilahnya pula ialah suatu ilmu yang membicarakan perihal al-Quran berdasarkan dalil-dalil terhadap maksud dan tujuan Allah sekadar yang termampu oleh daya pemikiran manusia. Sesetengah ulama memberikan pengertian tafsir sebagai merangkumi perkara-perkara yang
berhubung dengan kedudukan kalam Allah s.w.t. yang dimulai dari sudut sanad atau sandaran lafaz dan pengertian makna yang berhubung dengan sesuatu hukum. Ini termasuk sebab-sebab diturunkan sesuatu ayat dan masa sesuatu kejadian itu berlaku. Sesuatu penafsiran yang dapat diterima sebagai hujah oleh ahli-ahli tafsir mestilah mengandungi sususan ilmu bacaan(alQiraat), yang lengkap, ilmu usul dan ilmu bahasa yang melingkupi nahu, saraf, balaghah, bayan, badi' dan sebagainya.
Qiraat Mutawatirah merupakan prasyarat utama dalam membolehkan Sesuatu bacaan al-Quran diamalkan dan dijadikan hujah di samping dua rukun Qiraat yang lain iaitu bertepatan dengan Bahasa Arab dan Rasm `Uthmani. Ulama bersepakat bahawa kepentingan yang dimainkan oleh Qiraat Mutawatirah dalam ilmu tafsir. Kepelbagaian bentuk bacaan yang sah sanadnya adalah merupakan satu rahmat kepada umat Islam khususnya dalam bidang pensyariatan hukum-hakam. Ini kerana kepelbagaian tersebut bukanlah bermaksud wujud pertentangan makna mahupun pada aspek pentafsiran secara total, bahkan ianya merupakan pelengkap di antara satu sama lain yang mempunyai hubung kait. Dalam perbincangan mengenai peranan Qiraat Mutawatirah dalam ilmu tafsir ini, kita akan didedahkan dengan beberapa contoh potongan ayat-ayat al-Quran yang mempunyai kepelbagaian bentuk bacaannya.
Pertama: Firman dalam Surah al-An`am: 57:

قُل إِنّى عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبّى وَكَذَّبتُم بِهِ ۚ ما عِندى ما تَستَعجِلونَ بِهِ ۚ إِنِ الحُكمُ إِلّا لِلَّهِ ۖ يَقُصُّ الحَقَّ ۖ وَهُوَ خَيرُ الفٰصِلينَ
Maksudnya:Katakanlah:Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (al-Quran) dari Tuhanku, sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa),hanya Allah jualah yang menetapkan hokum,Dia menerangkan kebenaran dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan.
Adapun bacaan يَقُص الحَقَّ sebagaimana ayat di atas, menyatakan bahawa setiap kebaikan semuanya telah diterangkan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran. Dan tidak perlu mencari keterangan daripada kitab-kitab lain. Manakala Qiraat Abu Amru, Ibnu Amir, Hamzah, al-Kisaie, Ya`qub dan Khalaf membaca dengan bacaan يقض iaitu dengan menggantikan huruf ص kepada huruf ض. Maka ia membawa maksud: Allah s.w.t. jugalah yang menentukan kebenaran. Dari segi pentafsiran, maka bacaan ini menerangkan bahawa kesemu kebaikan adalah ditentukan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran. Maka selain daripadanya adalah perkara mungkar.
Kedua: Firman Allah s.wt. dalam Surah al-A`raf: 57:
وَهُوَ الَّذى يُرسِلُ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَى رَحمَتِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا أَقَلَّت سَحابًا ثِقالًا سُقنٰهُ لِبَلَدٍ مَيِّتٍ فَأَنزَلنا بِهِ الماءَ فَأَخرَجنا بِهِ مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ ۚ كَذٰلِكَ نُخرِجُ المَوتىٰ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ
Maksudnya: Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan.
Adapun bacaan بشرا sebagaimana ayat di atas, menyatakan bahawa Allah s.w.t. telah mengutuskan angin sebagai berita gembira iaitu petanda akan turunnya hujan iaitu kedatangan rahmat Allah. Terdapat juga bacaan selain bacaan di atas iaitu sebagaimana Qiraat Ibnu Kathir,
Nafi`, Abu Amru dan Ya`qub membacanya dengan نشرا iaitu menggantikan huruf ب kepada huruf ن . Dari segi pentafsiran, maka bacaan ini menerangkan bahawa Allah s.w.t. yang membawa awan-awan dilangit. Ada juga yang membaca dengan bacaan نشرا yang dibaca dalam Qiraat Hamzah dan al-Kisaie iaitu dengan membaris mati (sakinah) pada huruf ش. Dari segi pentafsiran, maka bacaan ini menerangkan bahawa Allah s.w.t. yang mengutuskan angin sebagai penyebar awan sebelum kedatangan rahmatNya(hujan).
Ketiga: Firman Allah s.w.t. dalam Surah Yunus: 30:
هُنالِكَ تَبلوا كُلُّ نَفسٍ ما أَسلَفَت ۚ وَرُدّوا إِلَى اللَّهِ مَولىٰهُمُ الحَقِّ ۖ وَضَلَّ عَنهُم ما كانوا يَفتَرونَ
Maksudnya:Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya) dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.
Qiraat Hamzah, al-Kisaie dan Khalaf membaca dengan bacaan تتلوا iaitu dengan menggantikan huruf kepada huruf. Dari segi pentafsiran, maka bacaan ini menerangkan bahawa Di sanalah (akhirat) kelak, tempat setiap orang dibacakan segala amalan yang telah mereka kerjakan. Kedua-dua Qiraat di atas memberi makna yang hamper sama dan boleh dihimpunkan dengan membawa maksud pada hari akhirat kelak, setiap orang akan merasai balasan dan dibaca tentang amalan yang mereka telah kerjakan.
PERANAN QIRAAT SYAZZAH



Ulama telah bersepakat menyatakan bahawa selain daripada Qiraat Tujuh dan Sepuluh adalah merupakan Qiraat Shazzah. Ini kerana ianya tidak memenuhi salah satu daripada rukun Qiraat
yang tiga. Umumnya, Qiraat Shazzah dikatakan berpunca daripada Mashahif peribadi para Sahabat r.a. yang tidak dihapuskan setelah Saidina `Uthman mengarahkan pembukuan semula al-Quran seperti mushaf Ibnu Mas`ud di mana mushafnya telah diriwayatkan oleh generasi Tabi`in. Walaupun Qiraat Shazzah tidak boleh dibaca sebagaimana Qiraat Mutawatirah, tetapi ia juga memainkan peranan penting dalam memberi sumbangan terhadap ilmu tafsir Al-Quran.
Di bawah, beberapa contoh Qiraat Shazzah dan peranannya dalam ilmu tafsir.
Pertama: Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Baqarah: 1-2:
الم ۛ ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ فيهِ هُدًى لِلمُتَّقينَ
Maksudnya: Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.
Qiraat Ibnu Muhaysin membaca dengan bacaan Tanwin pada kalimah ريبا .Dari segi pentafsiran, maka bacaan ini menerangkan bahawa inilah kitab yang tidak didapati keraguan di dalamnya.
Kedua: Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Baqarah ayat 199 :

ثُمَّ أَفيضوا مِن حَيثُ أَفاضَ النّاسُ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ
Maksudnya: „Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya
orang ramai dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Qiraat Ibnu Jubayr membaca dengan bacaan النسي iaitu bermaksud lupa. Dari segi pentafsiran, maka bacaan ini menerangkan bahawa kemudian hendaklah kamu berolak turun ke Arafah iaitu tempat bertolaknya orang yang lupa (Nabi Adam a.s. di mana baginda telah lupa dengan pesanan Allah s.w.t. yang melarangnya daripada menghampiri pokok khuldi).
Ketiga: Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-A`raf: 156:
وَاكتُب لَنا فى هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةً وَفِى الءاخِرَةِ إِنّا هُدنا إِلَيكَ ۚ قالَ عَذابى أُصيبُ بِهِ مَن أَشاءُ ۖ وَرَحمَتى وَسِعَت كُلَّ شَيءٍ ۚ فَسَأَكتُبُها لِلَّذينَ يَتَّقونَ وَيُؤتونَ الزَّكوٰةَ وَالَّذينَ هُم بِـٔايٰتِنا يُؤمِنونَ
Maksudnya:Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu. Allah berfirman: AzabKu akan Aku
timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu.
Qiraat Hassan al-Basri membacanya dengan bacaan أساء iaitu yang bermaksud jahat. Dari segi pentafsiran, maka bacaan ini menerangkan bahawa sesungguhnya azabku dikenakan pada orang-orang yang jahat dan rahmatKu meluasi segala sesuatu. Ini menunjukkan bahawa azab Allah itu sudah tentu dikenakan kepada mereka yang melakukan kejahatan sahaja.




















Contoh Terjemahan Yang Salah Dan Betul
Teks asal Juz 27 surah al Waqiah
ذكر تعالى في سورة الرحمن انشقاق السماء تصدعھا وذكر ھنا رجّ الأرض فكأن السورتین لتلازمھما واتحادھما في الموضوع سورة واحدة ، ولكن مع عكس الترتیب ، فذكر في أول ھذه السورة ما ذكره في آخرتلك ، وفي آخرھذه ما في أول تلك
Terjemahan yang salah


Allah SWT ada menyebut tentang surah (ar-Rahman) mengenai terbelahnya langit dan
kegoncangan bumi maka kedua-dua surah ini macam sepatutnya bersatu dalam tajuk surah yangsama. Akan tetapi sebaliknya berlaku pada susunannya, di mana apa yang disebutkan dalam surah al Rahman pada awal surah disebutkan dalam surah al Waqiah pada akhir surah, begitulah sebaliknya.
Teks terjemahan yang betul


Dalam surah al-Rahman, Allah gambarkan mengenai langit yang terbelah. Manakala dalam surah al Waqiah ini. Allah menceritakan tentang keberantakan (porak peranda) bumi. Kedua-dua surah ini seolah-olah satu surah dilihat dari sudut ini. Cuma susunannya agak berbeda. Apa yang
diungkapkan dipermulaan surah ini diungkapkan di akhir surah yang kedua. Begitu juga sebaliknya.
Teks ayat 13 -36 al Waqiah :
یطوف علیھم ولدان مخلدون أي یدور علیھم للخدمة غلمان أو صبیان أو خدم لھم ،مخلدون على صفة واحدة، لایھرمون ولا یتغیرون، ولایبعد أن یكونوا كالحور العین مخلوقین في الجنة، للقیام بھذه الخدمة.
بأكواب وأباریق وكأس من معین، لا یصدعون عنھا ولا ینزفون أي یطوفون علیھم بأقداح مستدیرة الأفواه لا آذان لھا ولا عرى ولا خراطیم، وأباریق ذات عرى وخراطیم، وكؤوس مترعة من خمر الجنة الجاریة من الینابیع والعیون، ولا تعصرعصرا كخمر الدنیا، فھي صافیة نقیة، لا تتصدع رؤوسھم من شربھا ولا یسكرون منھا، فتذھب عقولھم



Terjemahan yang salah


“Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang
sentiasa beredar di sekitar mereka”. Maksudnya muqarrabun di kelilingi oleh hamba, kanak kanak lelaki untuk berkhidmat kepada mereka, kanak-kanak ini kekal tidak berubah dan tidak tua dan mereka tidak akan binasa seperti bidadari yang bermata cantik iaitu makhluk di syurga terus kekal dengan perkhidmatannya.“Dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya”. Maksudnya mereka dikelilingi dengan mangkuk yang meleleh mulutnya tidak mempunyai telinga, tidak gondol dan tidak mempunyai belalai, cerek-cerek berkilat dan memiliki belalai ( خراطیم ) gelas-gelas berisikan air arak syurga yang mengalir dari sungai dan mata air syurga tidak diperah seperti perahan arak di dunia ia bersih hening tidak memeningkan kepala dan tidak memabukkan serta tidak menghilangkan akal.



Teks terjemahan yang betul


“Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya) mengitari mereka.” (al-Waqia’ah, 56:17 ). Maksudnya, golongan muqarrabun tersebut di kelilingi oleh para pelayan, dari kalangan remaja lelaki untuk berkhidmat kepada mereka. Para pelayan muda ini kekal tidak berubah dan tidak tua serta tidak pula mati. Mereka mungkin dari jenis seperti bidadari makhluk syurga yang terus kekal dengan perkidmatannya.
Firman Allah (bermaksud) : “Sambil membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta gelas
yang berisi arak yang mengalir. Mereka tidak pening kepala dan tidak pula mabuk (kerana
menikmatinya)” (al-Waqiah, 56: 18-19). Mereka dikelilingi para pelayan yang membawa piala yang corongnya bundar dan khusus untuk minuman. Mereka juga membawa cerek-cerek yang
bermuncung indah. Gelas-gelasnya penuh berisi arak syurga yang mengalir dari mata air syurga.
Arak-arak tersebut tidak perlu diperah seperti halnya arak di dunia. Arak yang sangat bermutu dan bersih. Ia tidak memeningkan kepala dan tidak memabukkan serta tidak menghilangkan akal.
















PENUTUP


Menterjemah teks tafsir memang berat dan penuh tanggungjawab. Penterjemah perlu merujuk
terjemahan tafsir yang pelbagai yang pernah dibuat dalam bahasa Melayu, Indonesia, dan lain-lain untuk meraih makna dan padanan yang lebih jitu dan membawa semangat dan roh ayat Al-Quran. Mereka perlu berani mengadakan sedikit pengubahsuaian bagi frasa yang mungkin sukar mencari padanan asli dalam bahasa kedua. Mereka sewajarnya kaya dengan pelbagai kata, bidalan bahasa dan kaedah pengucapan yang baik untuk memindahkan makna dalam teks asal.
Mereka perlu memiliki keupayaan mengarang dalam bahasa kedua atau bahasa sasaran yang hendak dialih makna kepadanya. Keupayaan mengarang yang baik dalam bahasa Melayu umpamanya menghalang hasil terjemahan menjadi seperti ungkapan dalam bahasa Arab yang pelik dan mengaburkan maksud. Hanya pengarang yang baik dapat menghasilkan terjemahan
yang bermutu.

1 ulasan:

  1. salam. nak mintak maklumat ttg topik ni lagi.terutama bahan rujukan.syukran. my email muj_akhirah@yahoo.com

    BalasPadam

Komen Ler...takkan tengok jer....